TAMAN BUKIT SLIM (TBS) - PENGENALAN

Taman Bukit Slim, 35800 Slim River terletak di pinggir bandar kecil Slim River dalam Daerah Batang Padang, Negeri Perak. Lokasinya di selatan Perak, kira-kira 22 km di utara Tanjung Malim dan 99 km dari selatan bandaraya Ipoh melalui jalan persekutuan. Kedudukannya bersebelahan Plaza Tol Slim River dan jika dari Ipoh jaraknya kira-kira 200 meter sebelum susur masuk ke plaza tol dan jika dari arah pekan Slim River penduduk atau pelawat perlu membuat pusingan "U" yang jauhnya kira-kira 2 km dari lampu isyarat persimpangan plaza Tol Slim River.Dibangunkan pada tahun 2008 dan diselenggarakan oleh Majlis Daerah Tanjong Malim – Admin.

Klik Sini

Pengumuman, Info dan Peristiwa TBS

* INFO TERKINI 2016

* Jawatankuasa Penduduk -Selamat Menyambut Nisfu Syaaban.

* Jawatankuasa KRT - Program SRS dilaksanakan seperti biasa.

* Jawatankuasa surau - Kuliah Mingguan dilaksanakan seperti biasa.


* Kelab Rekreasi Puakajoran - 2 Jun 2016 Trip Tanjung Dawai - Tukun Perak. Selamat Menjoran.


* Jika anda mempunyai maklumat dan sumber arkib untuk dikongsi sila berhubung dengan admin

SEKIAN TERIMA KASIH.

Tuesday 22 October 2013

Pengertian Hadith, Istilah Dalam Ilmu Hadith (Mustalahul Hadith) dan Jenis-jenis Hadith


Antara intipati kuliah yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Sobri pada 21.10.2013 di Surau Sallehuddin Al-ayubi, Taman Bukit Slim:

Mustalah hadith ialah satu ilmu untuk mengetahui istilah-istilah yang digunakan dalam ilmu hadith. Orang yang mula menyusunnya ialah Qadi Abu Mahmud al-Ramahramzi [Tahun 360 Hijrah].

Hadith menurut bahasa ialah: 

Pertama : Yang baharu,
Kedua : Perkhabaran,
Ketiga : Yang dekat atau yang belum lama.

Hadith menurut istilah ahli hadith : Segala ucapan nabi, segala perbuatan dan segala keadaannya. Maksud "keadaannya" ialah segala yang diriwayatkan dalam buku sejarah seperti hal keputraannya, tempatnya dan segala yang bertalian dengannya. Pengertian ini samalah dengan pengertian sunnah menurut istilah golongan ahli hadith tetapi pengertian ini berlainan dengan pengertian ahli usul. Sebab-sebab berlainan ini adalah kerana berlainan jurusan yang mereka lihat dan kaji.

Ulama' Hadith membahaskan peribadi rasul sebagai seorang yang dijadikan ikutan bagi umatnya. Kerana ini mereka pindahkan dan mereka terangkan segala yang bersangkutan dengan rasul, baik mengenai riwayat, perjalanannya, mengenai budi pekertinya, keutamaannya, keistimewaannya, tutur katanya, perbuatan-perbuatannya; sama ada yang dapat mewujudkan hukum atau tidak.

Ulama' usul membahaskan rasul sebagai seorang pengatur undang-undang yang meletakkan atau menciptakan dasar-dasar ijtihad bagi para mujtahid sesudahnya, dan menerangkan kepada manusia perlembagaan hidup (dustur al-hayat) maka mereka pun memperhatikan segala tutur kata rasul, perbuatan-perbuatannya dan taqrirnya, iaitu pengakuan-pengakuannya bersangkutan dengan perkara penetapan hukum.

Ulama' fiqh pula membahaskan peribadi rasul sebagai seorang yang seluruh perbuatannya atau perkataannya atau menunjukkan kepada suatu hukum syara'. Mereka membahaskan hukum-hukum yang mengenai para mukallaf dan perbuatan mereka dari segi hukum wajib, haram, harus, makruh dan mandub (sunat).

Justeru pengertian hadith adalah segala perkataan (sabda), perbuatan dan ketetapan dan persetujuan dari Nabi Muhammad SAW yang dijadikan ketetapan ataupun hukum dalam agama Islam. Hadith dijadikan sumber hukum dalam agama Islam selain Al-Qur'an, Ijma dan Qiyas. Kedudukan hadith merupakan sumber hukum kedua digunakan selepas Al-Qur'an.

Antara istilah-istilah yang digunakan dalam ilmu Mustalahul hadith oleh ulama' hadith ialah:

1. Sanad: Jalan yang menyampaikan kepada hadith (daripada siapa kepada siapa) .

2. Isnad: Menyebut hadith itu kepada orang yang mengatakannya. Sanad dan isnad hampir sama ertinya; keduanya adalah penting untuk menentukan nilaian hadith. 'Abdullah bin Mubarak berkata: "Isnad adalah dari urusan agama, dan kalaulah tidak kerana isnad,nescaya akan berkatalah orang, apa sahaja yang mahu diperkatakannya".

3. Musannid: Orang yang meriwayatkan hadith dengan isnadnya.

4. Musnad: Kitab yang dikumpulkan hadith di dalamnya, yang diriwayatkan dari seorang sahabat atau lebih.

5. Matan: Hadith nabi (s.a.w) yang di akhir sanad (pengucapan @ apa yang dikatakan dan diperakukan oleh nabi)

6. Riwayat: iaitu memindahkan hadith dari seorang kepada seorang yang lain, dan orang yang memindahkan disebut rawi.

7. Istikhraj dan Ikhraj: Mengambil atau mengeluarkan sesuatu hadith dari sesuatu kitab, dan mencari sanad yang lain dari sanad penyusun kitab itu, atau menerangkan bahawa hadith itu dipindahkan oleh penyusun dari kitab yang lain; umpamanya dikatakan: Akhrajah Al-Bukhari, ertinya: mengeluarkan hadith itu oleh Imam Bukhari; maksudnya ada disebut di dalam Bukhari dan ia memindahkannya ke dalam kitabnya.

8. Muhaddis: Orang yang banyak menghafaz hadith serta mengetahui sifat-sifat orang yang meriwayatkan tentang 'adil dan kecacatannya.

9. Hafiz: Orang yang menghafaz sebanyak 100,000 hadith dengan isnadnya.

10. Hujjah: Orang yang menghafaz sebanyak 300,000 hadith dengan isnadnya.

11. Hakim: Orang faham,tahu dan menyeluruh 'ilmunya dalam urusannya hadith.


Secara ringkasnya, terdapat beberapa jenis hadith yang dikelaskan oleh ahli hadith, antaranya:

1. Hadith mutawatir
Hadith yang diberitakan oleh ramai sahabat. Bilangannya begitu ramai sehingga mustahil ia adalah dusta.

2. Hadith masyhur
Hadith yang diriwayatkan oleh sekurang-kurangnya tiga orang. Hadith ini sekurang-kurangnya diberitakan oleh tiga sanad yang berlainan. Contoh, satu hadith yang diriwayatkan oleh tiga orang; Muslim, Bukhari dan Tarmidzi. Manakala sanad setiap imam berbeza orang-orangnya. (Sanad: orang-orang yang menyampaikan hadith secara bertalian hinggalah kepada pencatat hadith/imam)

3. Hadith sahih
Hadith yang sanadnya dari kalangan yang bersikap adil,Islam, berakal waras, baligh dan tidak melakukan dosa besar.Selain itu orang yang cukup kuat ingatannya,sejahtera dan tidak mempunyai kecacatan yang boleh menjejaskan penyampaian hadith.

4. Hadith hassan
Hampir serupa dengan hadith sahih tetapi ada diantara sanadnya mempunyai kelemahan dalam daya ingatan.

5. Hadith hassan sahih
Mempunyai sanad hassan dan sahih.

6. Hadith daif (lemah)
Tidak mengikut syarat-syarat hadith hassan. Iaitu lemah sanadnya. Sesetengah ulama membolehkan penggunaan hadith daif hanya dalam menggalakkan sesuatu amalan atau kebaikan, tetapi tidak boleh diguna sebagai sumber hukum.

7. Hadith Maudu (palsu)
Tidak dapat dibuktikan hadith rasulullah. Contohnya tidak diketahui sanadnya. Fitnah ini berlaku bermula pada zaman Khalifah Uthman di mana hadith palsu telah dicipta untuk mempertahankan aliran peribadi. Contoh hadith palsu: "Sesiapa yang ingin melihat kepada Adam tentang ketinggian ilmunya, dan kepada Nuh tentang ketakwaannya dan baktinya, dan kepada Ibrahim tentang kebaikan hatinya, dan kepada Musa tentang kehebatannya, dan kepada Isa tentang ibadatnya, maka hendaklah ia lihat pada Ali (saidina Ali). Hadith ini dikatakan diada-adakan oleh golongan syiah.

Rasulullah s.a.w. melarang mengada-adakan hadith palsu. Sabdanya; Janganlah kamu berdusta atas namaku, kerana bahawasanya barang siapa yang berdusta atas namaku, masuklah dia ke dalam neraka. (Muslim)

No comments:

Post a Comment

Paparan Popular

Sahabat Blogger

Pautan Santai Berkaitan TBS

Perkhidmatan Dan Kemudahan Sekitar TBS