TAMAN BUKIT SLIM (TBS) - PENGENALAN

Taman Bukit Slim, 35800 Slim River terletak di pinggir bandar kecil Slim River dalam Daerah Batang Padang, Negeri Perak. Lokasinya di selatan Perak, kira-kira 22 km di utara Tanjung Malim dan 99 km dari selatan bandaraya Ipoh melalui jalan persekutuan. Kedudukannya bersebelahan Plaza Tol Slim River dan jika dari Ipoh jaraknya kira-kira 200 meter sebelum susur masuk ke plaza tol dan jika dari arah pekan Slim River penduduk atau pelawat perlu membuat pusingan "U" yang jauhnya kira-kira 2 km dari lampu isyarat persimpangan plaza Tol Slim River.Dibangunkan pada tahun 2008 dan diselenggarakan oleh Majlis Daerah Tanjong Malim – Admin.

Klik Sini

Pengumuman, Info dan Peristiwa TBS

* INFO TERKINI 2016

* Jawatankuasa Penduduk -Selamat Menyambut Nisfu Syaaban.

* Jawatankuasa KRT - Program SRS dilaksanakan seperti biasa.

* Jawatankuasa surau - Kuliah Mingguan dilaksanakan seperti biasa.


* Kelab Rekreasi Puakajoran - 2 Jun 2016 Trip Tanjung Dawai - Tukun Perak. Selamat Menjoran.


* Jika anda mempunyai maklumat dan sumber arkib untuk dikongsi sila berhubung dengan admin

SEKIAN TERIMA KASIH.

Friday 30 May 2014

Kesultanan Negeri Perak ( Sultan ke Dua Puluh Tujuh Hingga Tiga Puluh Lima )

27.Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah

DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
SULTAN YUSUF SHARIFUDDIN MUDZAFFAR SHAH
(MARHUM GHARIRULLAH)
SULTAN PERAK YANG KEDUA PULUH TUJUH
(1886 - 1887)

Sultan Yusuf adalah putera Almarhum Sultan Abdullah Muhammad I, Sultan Perak yang ke 22. Semasa Sultan Jaafar, Sultan Perak yang ke-23 mangkat pada tahun 1865, dan juga semasa Sultan Ali, Sultan Perak yang ke-24 mangkat, Baginda telah tidak dipilih menjadi Raja Bendahara walaupun Baginda berhak. Ini disebabkan ramai Raja-raja dan Orang-orang Besar Perak tidak sukakan Baginda.

Pada tahun 1871, Raja Bendahara Ismail telah diangkat menjadi Sultan Perak yang ke-25 tetapi Raja Muda Abdullah yang bersemayam di Batak Rabit telah tidak berpuas hati dengan perlantikan itu. Untuk menguatkan kedudukannya, Raja Muda Perak yang bersemayam di Senggang dan Baginda sendiri mengaku diri Baginda sebagai Sultan Perak yang ke-26, bergelar Sultan Abdullah Muhammad Shah II, Marhum Habibullah.

Pada tahun 1877, Baginda telah berangkat ke Singapura kerana dipanggil oleh Kerajaan British berhubung dengan penyiasatan pembunuhan Birch di Pasir Salak. Raja Yusuf telah diangkat menjadi Pemangku Raja bagi Negeri Perak, dan Baginda telah berpindah ke Sayong, seberang pekan Kuala Kangsar.

Raja Idris Ibni Almarhum Raja Alang Iskandar dibenarkan balik ke Perak dari Singapura untuk membantu mertuanya Raja Yusuf untuk memerintah Negeri Perak. Raja Yusuf diiktiraf menjadi Pemangku raja daripada tahun 1877, manakala Raja Idris pula diangkat menjadi Raja Bendahara Perak.

Berikutan dengan itu, sebuah Majlis Mesyuarat negeri (State Council) yang ahli-ahlinya terdiri daripada Raja Yusuf sebagai yang di-Pertua, Hugh Low - Residen Inggeris, Raja Idris, Dato' Temenggong, Che Karim Selama, Kapitan Chung Keng Kwee - Ketua Kumpulan China Ho Kuan (Hai San), dan Kapitan Chin Ah Yam - (Ghi Hin) telah ditubuhkan.

Persidangan pertama Majlis itu telah diadakan di Kuala Kangsar pada 10hb. September, 1877 bagi merundingkan dasar-dasar Kerajaan Negeri Perak.

Setelah lebih kurang 9 tahun Raja Yusuf menjadi Raja Muda dan Pemangku Raja di Negeri Perak, Baginda pun dilantik menjadi Sultan Perak yang ke-27 bergelar Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah pada 7hb. Oktober, 1886 dan bersemayam di Sayong Tebing. Raja Idris pula diangkat menjadi Raja Muda Perak.

Sultan Yusuf memerintah Negeri Perak selama lebih kurang sepuluh bulan sahaja. Baginda mangkat pada bulan Julai, 1887 di Sayong dan digelar "Marhum Gharirullah".

Makam Almarhum Sultan Yusuf Shariffuddin Mudzaffar Shah asalnya terletak di Sayong Tebing tetapi telah dipindahkan ke kawasan Masjid Sayong Tengah, Mukim, Daerah Kuala Kangsar.

Makam Almarhum Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah.

28.Sultan Idris Murshidul'azam Shah

DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
SULTAN IDRIS MURSHIDUL'ADZAM SHAH
(MARHUM RAHMATULLAH)
SULTAN PERAK KEDUA PULUH LAPAN
(1887 - 1916)

Makam Almarhum terletak berhampiran dengan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dalam sebuah bangunan Makam di-Raja. Sultan-sultan lain yang dimakamkan di Permakaman di-Raja Bukit Chandan ialah Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (Sultan Perak yang ke-29) dan Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak Yang ke-30).

Almarhum Sultan Idris Murshidul 'adzam Shah ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar, G.C.M.G., G.C.V.O., ialah putera yang ketiga kepada Raja Bendahara Alang Iskandar (Marhum Teja) dan diputerakan di Kuala Keboi, Kampar (Perak) dalam tahun 1849.

Dalam tahun 1875, semasa Sultan Abdullah Muhammad Shah II menjadi Sultan Perak, Raja Idris berumur 26 tahun. Pada masa perselisihan di antara Sultan Abdullah dengan Birch, Baginda menjadi ketua rombongan perwakilan yang membawa surat daripada Sultan Abdullah kepada Gabenor Sir Andrew Clarke. Pada tahun yang sama, Raja Idris telah dilantik oleh Sultan Abdullah menjadi Hakim dan kemudian menjadi Hakim Besar pula.

Pada bulan Mac, 1876 Raja Idris dilantik oleh Sultan Abdullah menjadi hakim dalam perbicaraan Seputum, Che Gondah dan Ngah Ahmad di Bandar Baharu yang telah didakwa oleh British. Setahun kemudian Baginda balik ke Negeri Perak dari Singapura membantu ayah mertua Baginda Raja Yusuf Raja Muda Perak yang menjadi Pemangku Raja. Raja Idris dilantik menjadi Raja Bendahara Perak dan di akhir tahun 1877, Baginda dilantik pula menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri itu.

Pada 7 Oktober  1886, apabila Raja Muda Yusuf dilantik menjadi Sultan Perak, Raja Idris diangkat pula menjadi Raja Muda Perak. Dalam bulan Julai, 1887 Sultan Yusuf mangkat dan Raja Muda Idris dilantik menjadi Sultan Perak yang ke-28 bergelar Sultan Idris Murshidul 'adzam Shah (Sultan Idris I). Baginda bersemayam di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Ketika itu Baginda berumur 38 tahun. Sir Hugh Low masih memegang jawatan Residen di Negeri Perak.

Ketika Baginda berjawatan Hakim dalam tahun 1884, Baginda berangkat ke London bersama-sama Sir hugh Low dan Yang Mulia Raja Mansur ibni Almarhum Sultan Abdullah kerana mengambil balik perkakas Kerajaan Negeri Perak yang dibawa oleh orang-orang Inggeris untuk disimpan selepas huru-hara Perang Perak dalam tahun 1875 hingga 1876.

Dalam tahun 1888 Baginda Sultan idris sekali lagi berangkat ke England bersama-sama Sir Hugh Low dan Raja Ngah Mansur kerana menunaikan jemputan Ratu Inggeris, Queen Victoria. Di England, Raja Ngah Mansur berusaha dengan persetujuan Sultan Idris mencipta lagu "Lagu Kebangsaan Negeri Perak Terang Bulan". Lagu ini mula diketengahkan pada 5 April, 1889 dalam Istiadat Pertabalan Baginda di Kuala Kangsar.

Pemerintahan Sultan Idris bertambah maju, pekan-pekan semakin banyak dibuka di negeri itu, hasil bijih timah dari daerah Kinta banyak dikeluarkan dan ladang-ladang getah semakin banyak dibuka di daerah-daerah Negeri Perak. Penduduk Negeri Perak menjadi bertambah ramai, berjumlah 214,254 orang.

Pada tahun 1895, dengan persetujuan Sultan-Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang di-Pertuan Negeri Sembilan, keempat-empat buah negeri itu dijadikan sebuah persekutuan negeri-negeri dinamakan "Negeri-Negeri Melayu Bersekutu". Persekutuan ini telah dirasmikan pertubuhannya pada 1 Julai 1896 dan Majlis Raja-Raja keempat-empat buah negeri ini disebut "DUKBAR". Pengerusinya ialah Sir Charles Mitchell, Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Gabenor Negeri-Negeri Selat. Majlis tersebut diadakan di Istana Sultan Idris Perak (Istana Negara) di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada bulan Julai 1897.

Permulaan jalan keretapi bagi penggunaan awam di Semenanjung Tanah Melayu ialah jalan keretapi dari Taiping ke Port Weld, sejauh 5 km yang dibuka pada zaman Sultan Yusuf, dalam tahun 1885.

Dalam tahun 1901 Baginda Sultan Idris telah dikurniakan Bintang Kebesaran G.C.M.G. oleh Raja Inggeris, King George V.

Baginda menggalakkan penubuhan beberapa buah Sekolah Melayu dan Sekolah Inggeris bagi tempat anak-anak Raja dan Orang-orang Besar seluruh Negeri Perak. Antaranya ialah Babul'd-Darjat (Kolej Melayu) Kuala Kangsar dan King Edward School (asalnya Central School).

Sewaktu pemerintahan Sultan Idris, bahagian Hulu perak yang luasnya seribu batu persegi diambil oleh Kerajaan Reman (Perintah Siam) dalam tahun 1909. Sebagai ganti, Kerajaan Reman menyerahkan balik kepada Kerajaan Perak Kelian Intan dan Keroh, Hulu Perak.

Dalam tahun 1911, Sultan Idris bersama isteri Baginda Tengku Permaisuri Uteh Mariah berangkat ke England menghadiri kemahkotaan Raja Inggeris King George V. Pengiring Baginda ialah Raja Sir Chulan (Raja Di Hilir) dan Dato' Setia Jeragan Abdul Shukur. Pada masa baginda memerintah, putera Baginda yang bernama Raja Abdul Jalil menjadi Raja bendahara dan yang bernama Alang Iskandar memegang jawatan Penolong Pesuruhjaya Polis di Kuala Lumpur.

Sebuah Maktab Perguruan Melayu di Melaka dan Matang dibuka dan ditutup dalam tahun 1922, kemudian digabungkan menjadi sebuah maktab perguruan Melayu yang besar di Tanjung Malim dinamakan Maktab Latihan Sultan Idris, sempena nama Baginda setelah mangkat 6 tahun lepas itu.

Baginda Sultan Idris meletak batu asas bangunan Masjid Ubudiah Bukit Chandan tidak jauh dari Istana Baginda kerana menyempurnakan nazar Baginda, tetapi masjid ini dibuka dengan rasmi oleh Raja Abdul Jalil dalam tahun 1917.

Dalam tahun 1914 semasa Perang Dunia pertama, Sultan Idris mengambil bahagian utama bersama-sama Raja-Raja pemerintah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu menghadiah sebuah kapal perang besar kepada Kerajaan british dan kapal itu dinamakan H.M.S Malaya dan telah ditenggelamkan dalam Perang Dunia yang kedua.

Baginda Sultan Idris juga telah melantik Jeragan Abdul Shukur bin Mohammad Ali kepada martabat Orang Kaya-Kaya Setia Bijaya di-Raja, menggantikan gelaran Orang Kaya-Kaya Seri Agar di-Raja yang telah dimansuhkan selepas pembunuhan J.W.W. Birch.

Pada 14 Januari 1916, Baginda Sultan Idris I mangkat di Istana Bukit Chandan dan dimakamkan di Permakaman di-Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar, bergelar "Marhum Rahmatullah".


Makam Almarhum Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I.

29.Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah
DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
SULTAN ABDUL JALIL
KARAMATULLAH SHAH
(MARHUM RADZIALLAH)
SULTAN PERAK KEDUA PULUH SEMBILAN
(1916 - 1918)

Baginda ditabal sebagai Sultan Perak yang ke-29 dalam bulan September 1916, menggantikan Almarhum Ayahanda Baginda dengan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah dan bersemayam di bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Walaupun pemerintahan Baginda sangat singkat tetapi Baginda sempat juga merasmikan pembukaan dua buah Masjid yang besar di Negeri perak iaitu Masjid Ubudiah di Bukit Chandan dan Masjid Ridzuaniah, di bandar Kuala Kangsar.

Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah hanya memerintah selama dua tahun sahaja dan Baginda telah mangkat dalam tahun 1918 dan dimakamkan di Permakaman di-Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Makam Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah terletak di sebelah Makam Almarhum Sultan Idris Murshidul 'adzam Shah. Almarhum diberi gelaran "Marhum Radziallah".


Makam Almarhum Sultan Abdul Jalili Karamatullah Shah

30.Sultan Iskandar Shah
DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
SULTAN ISKANDAR SHAH
(MARHUM KADASALLAH)
SULTAN PERAK YANG KETIGA PULUH
(1918 - 1938)

Raja Alang Iskandar adalah putera Almarhum Sultan Idris Murshidul 'adzam Shah, Sultan Perak yang ke-30. Baginda dilantik menjadi Sultan Perak menggantikan kekanda Baginda, Almarhum Sultan Abdul Jalil dan bergelar Sultan Iskandar Shah serta bersemayam di Istana Kenangan, kemudian berpindah ke Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Baginda diputerakan di Kuala Keboi, Kampar, Perak pada tahun 1876. Baginda mula bersekolah di Central School, Taiping, kemudian melanjutkan pelajaran Baginda ke Belliol College, Oxford, England. Dalam tahun 1902 Baginda berangkat balik ke Negeri Perak bersama ayahanda Baginda Sultan Idris yang melawat England. Tiga tahun kemudian Baginda berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan di Bandar Taiping.

Tahun 1906 Baginda berkhidmat dalam pasukan Polis dan tidak berapa kemudian telah dilantik menjadi Penolong Pesuruhjaya Polis di Kuala Lumpur. Kegemaran Baginda ialah bermain bolasepak, hoki, kriket dan merupakan seorang ahli pasukan polo Negeri Selangor dan pasukan polo Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Sehingga menjadi Sultan Perak pun Baginda masih merupakan pemain polo yang handal dan menubuhkan satu pasukan polo Negeri Perak di Kuala Kangsar.

Dalam tahun 1916, ketika berkhidmat dalam Pasukan Polis di Kuala Lumpur, Baginda telah dipanggil balik ke Perak kerana telah dilantik menjadi Raja Bendahara Perak. Apabila Sultan Abdul Jalil mangkat dalam tahun 1918, Raja Bendahara Alang Iskandar ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke-30. Enam tahun kemudian Baginda berangkat ke England kerana menyaksikan pertunjukan Wembly, sekaligus mengadap Baginda King George V.

Baginda ialah seorang "Amateur Jockey" dan mempunyai kira-kira tujuh puluh ekor kuda lumbanya sendiri. Dalam Pasukan Volunteer Infantry iaitu cawangan pasukan FMSVF, Baginda adalah seorang Kolonel, manakala dalam Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu, Baginda Honorary Inspector General.

Baginda menyokong kuat penubuhan Askar melayu di-raja, dan desakan Baginda, kuasa pentadbiran yang dipegang oleh Residen General bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah dirombak dan dibahagi-bahagi semula kepada Sultan-Sultan, Residen-Residen dan Majlis-Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri dalam Persekutuan itu.

Dengan rayuan Baginda kepada Kerajaan Inggeris, Jajahan Dinding dan Pulau Pangkor yang diberi kepada Kompeni Inggeris dalam tahun 1826 diserahkan balik kepada Kerajaan Negeri Perak dalam tahun 1935.

Baginda turut melantik seorang alim Islam di Teluk Intan (Teluk Anson), bernama Sheikh Muhammad Saleh (Asal dari Minangkabau) menjadi Shaikul-Islam bagi Negeri Perak. Baginda sendiri selalu melawat dan memberi titah ucapan mengenai ajaran Agama Islam kepada rakyat Baginda di bandar-bandar dan di kampung-kampung.

Baginda berangkat merasmikan Maktab Latihan Sultan Idris di Tanjung Malim pada tahun 1922. Baginda juga telah mendirikan sebuah istana yang besar dan indah di Bukit Chandan dan dinamakan Istana Iskandariah, sempena nama Baginda sendiri.

Pada masa pemerintahan Baginda, Baginda telah mengurniakan gelaran Orang kaya-Kaya Mahakurnia Indera di-Raja kepada Encik Alang Ahmad bin Muhammad Yunus, menggantikan gelaran Orang Kaya Maharaja Lela Tan Lela Putera yang telah dimansuhkan selepas pembunuhan J.W.W. Birch dahulu.

Setelah memerintah selama 20 tahun lamanya dengan jaya, maka dalam bulan Oktober 1938, Sultan Iskandar Shah pun mangkat dan dimakamkan di Permakaman di-Raja Bukit Chandan, bergelar "Marhum Kadasallah".

Makam Sultan Iskandar Shah

31.Sultan Abdul Aziz Al-Mustasim Billah Shah
DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
SULTAN ABDUL AZIZ ALMUSTASIM BILLAH SHAH
(MARHUM NI'MATULLAH)
(1938 - 1948)
SULTAN PERAK KE-31

Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa, K.C.M.G., K.B.E. adalah putera tunggal Raja Muda Musa Ibni Almarhum Sultan Ja'afar Mua'azzam Shah. Baginda diputerakan di Kampung Bandar, Teluk Intan pada 14 November 1887, dan mendapat pelajaran di Sekolah Anglo-Chinese Teluk Intan dan Ipoh, Sekolah Inggeris Central Taiping dan kemudian Maktab Babuldarjat (Kolej Melayu) Kuala Kangsar.

Pada hujung tahun 1908, Baginda telah tamat pelajaran di Kolej Melayu, Kuala Kangsar dan masuk berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan sebagai seorang Pelatih Pegawai Melayu di Taiping. Pada tahun 1909, Baginda bertukar menjadi Penolong Pegawai Jajahan Parit Buntar, kemudian Lenggong, diikuti dengan Hulu Perak, ke Larut dan Matang, Taiping hingga menjadi Pemeriksa Padi di Kerian dalam tahun 1974. Tahun itu juga Baginda bertukar ke Lenggong menjadi Penolong Pegawai Jajahan Hulu Perak.

Selepas Perang dunia Pertama pada tahun 1919, apabila Sultan Iskandar Shah menjadi Sultan perak, Raja Abdul Aziz diangkat menjadi Raja Muda Perak dan Baginda terus bersemayam di Teluk Intan.  Dari tahun 1920 hingga ke tahun 1925 Baginda berkhidmat dalam Pasukan Malayan Volunteer Infantry (Perak) hingga mendapat pangkat Kapten. Di samping itu, Baginda juga merupakan pemain tenis yang cekap.

Pada tahun 1924 apabila Sultan Iskandar Shah berangkat ke England, Raja Muda Abdul Aziz telah diangkat menjadi Pemangku Raja bagi Negeri Perak. Pada masa Baginda menjadi Raja Muda Perak, Baginda telah berangkat ke England dan telah mengadap Raja Inggeris, King George V.

Baginda juga pernah memegang beberapa jawatan pentadbiran Negeri, iaitu sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, serta Ketua Majlis Mesyuarat Raja-raja dan Ulama-ulama. Pada tahun 1932 sehingga tahun 1935, Baginda telah dilantik menjadi wakil Melayu dalam Majlis Mesyuarat Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Selain daripada itu, Baginda pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Penasihat Askar Melayu dan Ahli Lembaga Penasihat dalam hal perusahaan Negeri pada tahun 1934.

Pada bulan Ogos 1938, Baginda telah dilantik menjadi Sultan Perak Yang ke-31 bergelar Sultan Abdul Aziz Mustasim Billah Shah menggantikan Almarhum Sultan Iskandar Shah. Baginda bersemayam di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan telah ditabalkan sebagai Sultan Perak pada 4 Mac 1939. Baginda telah dianugerahkan pangkat Honorary Colonel dalam Pasukan Volunteer Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Pada 8 Disember 1941, Perang Dunia Kedua meletus di sebelah Timur. Tentera Jepun mula mendarat di Patani, Senggora (Thailand) dan Kota Bharu (Kelantan) lalu menyerang negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Setelah itu tentera Jepun masuk menyerang bahagian Utara Perak dan berjaya mengalahkan pihak British di Negeri Perak.

Pada tahun 1942 hingga 1945 Negeri Perak diduduki oleh tentera Jepun dan pentadbirannya diperhatikan oleh seorang Gabenor Jepun yang berpengkalan di Ipoh.  Sultan Abdul Aziz tetap teguh sebagai Sultan Perak.

Keadaan Negeri Perak serta penduduknya semasa pemerintahan tentera Jepun amat menyedihkan kerana kekurangan makanan dan pakaian. Baginda sendiri sentiasa diawasi oleh Pegawai Tentera Jepun kerana mereka mengesyaki Baginda ada perhubungan dengan pegawai-pegawai pasukan gerila Inggeris, Pasukan 136 yang terjun dengan payung-payung terjun di Ulu Perak dan yang mendarat di Kuala Perak melalui laut.

Pada pertengahan bulan Ogos 1945, Jepun menyerah kalah tetapi pihak Tentera British yang dijadualkan mengambil alih pentadbiran Melayu daripada tangan Tentera Jepun belum tiba. Lanjutan daripada itu Negeri Perak menjadi huru-hara.  Pada masa itu, askar-askar gerila komunis terutama pasukan M.P.A.J.A atau askar Bintang Tiga yang bersembunyi dalam hutan Negeri Perak telah keluar dari hutan lengkap dengan senjata api. Askar China yang berbintang satu turut bermaharajalela di beberapa bandar dan kampung.

Pada bulan November 1945, Sir Harold MacMichael datang ke Negeri Perak menemui Sultan Abdul Aziz di Kuala Kangsar dan telah memaksa Baginda menandatangani surat perjanjian penyerahan kuasa pemerintahan Baginda kepada Kerajaan British. Negeri-negeri melayu akan digabungkan ke dalam sebuah pertubuhan yang dipanggil Malayan Union.

Surat perjanjian itu telah ditandatangani oleh Sir Harold MacMichael bagi pihak Kerajaan British dan Sultan Abdul Aziz bagi pihak Kerajaan Perak dengan disaksikan oleh Raja Yusuf, Raja Muda Perak dan Dato' Temenggong Haji Wan Hamaruddin, pada 22 November 1945. Perjanjian itu tidak diketahui oleh Orang-orang Besar dan rakyat Baginda.

Malayan Union ditubuhkan pada 1 April 1946.  Sultan Perak serta sekalian Sultan Negeri-Negeri Melayu dan Yang di-Pertuan Besar telah memulaukan Istiadat Perlantikan Gabenor Malayan Union kerana tidak bersetuju Malayan Union ditubuhkan.

Setelah setahun sembilan bulan usia Malayan Union, Kerajaan British menjemput sekalian Raja-raja berkumpul di Kuala Lumpur pada 21 Januari 1948, lalu menandatangani satu surat perjanjian iaitu Perjanjian Persekutuan. Dengan itu Kerajaan British telah memansuhkan Malayan Union dan digantikan dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Pada 1 Februari 1948, rasmilah pertubuhan Kerajaan Persekutuan Tanah melayu dan sejak itu kuasa Raja-raja Melayu diberi balik seperti sediakala.

Baginda Sultan Abdul Aziz mangkat pada 29 Mac 1948 di Lumut dan jenazah Almarhum dibawa ka Kuala Kangsar, kemudian dimakamkan di Permakaman di-Raja, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan digelar "Marhum Ni'matullah".

Makam Almarhum Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah terletak di luar kawasan Permakaman di-Raja.

Makam Almarhum Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah

32.Sultan Yussuff Izzuddin Shah

DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
SULTAN YUSSUFF IZZUDDIN SHAH
(MARHUM GHAFARULLAH)
SULTAN PERAK KETIGA PULUH DUA
(1948 - 1963)

Sultan Yussuf Izzudin Shah telah diputerakan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada 15 Januari 1890 dan Baginda mendapat pelajaran mulai di Sekolah Melayu kemudian melanjutkan pelajarannya di Sekolah Inggeris Hogan (Sekolah Clifford) dan akhirnya di Maktab Babu'd-Darjat (Kolej Melayu).

Setelah tamat pelajarannya dalam tahun 1911, Baginda masuk berkhidmat sebagai Pelatih Pegawai Melayu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Taiping, kemudian bertukar menjadi Pemungut Cukai Tanah dan Hakim di Kuala Kangsar. Baginda juga pernah menjadi Pengawas Jajahan Kecil Parit dan Bruas, dan juga di Pejabat Perbendaharaan Negeri. Pada masa berkhidmat dalam jawatan-jawatan itulah Baginda telah beroleh pengetahuan dan kemahiran dalam hal pentadbiran negeri.

Pada tahun 1919, Baginda dilantik menjadi Raja Di Hilir Perak dan bersemayam di Ipoh dan kemudiannya pada tahun 1921 Baginda telah dilantik menjadi Raja Bendahara Perak dan bersemayam di Istana Bendahara Ipoh. Dalam tahun 1924 Baginda mula masuk berkhidmat dalam Pasukan M.V.I (Malayan Volunteer Infantry) Negeri Perak dan mencapai pangkat Lieuftenant, hingga tahun 1933. Setelah berhenti dari pasukan M.V.I Baginda masuk F.M.S.V.F. (Federated Malay States Volunteer Forces) cawangan Negeri Perak sebagai Pegawai Simpanan.

Pada tahun 1934 Baginda berangkat ke England bersama-sama Tengku Laksamana Alam Shah Selangor mengiringkan Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor dan mengadap Raja Inggeris King George V.

Apabila Sultan Abdul Aziz ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke-31 pada tahun 1938, Baginda pula dilantik menjadi Raja Muda Perak dan bersemayam di Teluk Intan (Teluk Anson). Sebagai Raja Muda Perak Baginda dijadikan ahli dalam Majlis Mesyuarat Negeri Perak dan juga menjadi Naib Yang di Pertua Majlis Mesyuarat Orang-orang Besar dan Ulama-Ulama di Negeri Perak.

Dalam tahun 1938, Baginda telah dikurniakan bintang O.B.E dan tahun 1949 dikurniakan K.C.M.G oleh Ratu Inggeris King George V. Di samping itu Baginda menerima kurniaan Bintang Kebesaran daripada Raja Siam.

Sultan Yussuf Izzuddin Shah telah dilantik menjadi Sultan Perak yang ke-32 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Aziz (Marhum Ni'matullah) bergelar Sultan Yussuf Izzuddin Shah dan bersemayam di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan Baginda telah ditabalkan pada 16 April 1949. Kelambatan dijalankan Istiadat Pertabalan Baginda adalah kerana dalam tahun 1948, di negeri-negeri Melayu sedang sibuk dengan kerja-kerja berhubung dengan tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu.

Dalam tahun 1953 Sultan Yussuf Izzuddin Shah berangkat ke England kerana menghadiri Istiadat Kemahkotaan Ratu Inggeris Queen Elizabeth Yang Kedua. Tiga tahun selepas itu, iaitu pada tahun 1956 Baginda berangkat sekali lagi ke England dan benua Eropah kerana beralih angin.

Pada 4 Januari 1963, Sultan Yussuf Izzuddin Shah mangkat di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, dalam usia lebih kurang 73 tahun. Jenazah Almarhum dimakamkan di Permakaman di-Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan digelar "Marhum Ghafarullah".

Almarhum mempunyai putera dan puteri dan Sultan Perak yang ke-34 adalah putera Baginda.

Makam Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah

33.Sultan Idris Iskandar Shah II
DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
SULTAN IDRIS ISKANDAR SHAH II
(MARHUM AFFIFULLAH)
SULTAN PERAK KETIGA PULUH TIGA
(1963 - 1984)

Nama Baginda ialah Raja Idris, putera Almarhum sultan Iskandar Shah (Almarhum Kaddasallah) yang diputerakan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada 17 Ogos, 1924. Baginda adalah putera yang kedua kepada Almarhum Sultan Iskandar dan Raja Teh Umi Kalsum binti Raja Muhammad Iskandar. Kekanda sulung baginda telah meninggal dunia semasa kecil lagi, berumur 40 hari sahaja.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu, bukit Chandan mulai 3 Januari, 1931 dan setahun kemudian bertukar pula ke Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Kangsar.

Pada tahun 1934, semasa Baginda berumur 10 tahun, Baginda telah dilantik menjadi Raja Di Hilir dengan permintaan dan kehendak Orang-orang Besar Perak, menggantikan Raja Sir Chulan. Semasa Negeri Perak di bawah pemerintahan Sultan Abdul Aziz, Baginda dilantik pula sebagai Raja Bendahara Perak pada 17 Oktober, 1938.

Baginda telah melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu, Kuala Kangsar awal bulan Disember, 1938. Pada akhir tahun 1941, semasa Jepun datang menyerang dan mengalahkan Malaya, pelajaran Baginda dalam Senior Cambridge di Maktab Melayu itu telah terganggu.

Di zaman pendudukan Jepun, Baginda turut menceburkan diri dalam pasukan Giyutai, iaitu pasukan pertahanan yang ditaja oleh Jepun. Melalui pasukan inilah Baginda telah mengumpul dan menggerakkan pemuda-pemuda Melayu supaya pandai menggunakan senjata api dan mempelajari teknik peperangan gerila, dengan bertopengkan pasukan Giyutai. Baginda dan beberapa orang pemuda Melayu yang lain telah membuat hubungan sulit dengan pasukan gerila yang dikenali sebagai Force 136, di bawah pimpinan Kolonel Dobree untuk menentang Tentera Jepun.

Dalam suasana peperangan di zaman pemerintahan Jepun, Baginda telah menamatkan alam remaja apabila Baginda telah dipertemukan jodoh dengan Yang Mulia Raja Mazwin binti Raja Ariff Shah pada tahun 1944. Hasil daripada perkongsian hidup ini, Baginda telah dikurniakan Allah dengan dua orang putera dan tiga orang puteri. Putera Baginda yang sulung telah mangkat semasa berusia enam bulan.

Sebelum Baginda melanjutkan pelajarannya ke England pada tahun 1934-1945, Baginda bertugas di Pejabat Tanah, Kuala Kangsar, sebagai Penolong Pemungut Cukai Hasil Tanah. Pada tahun berikutnya Baginda ditempatkan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak untuk mengikut latihan di bidang pentadbiran.

Tahun 1948, apabila Sultan Abdul Aziz Al-Mutasim Billah Shah mangkat, Sultan Yussuff Izzuddin Shah ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke-32 dan Baginda dilantik menjadi Raja Muda Perak yang bersemayam di Teluk Intan. Setahun selepas menjadi Raja Muda Perak, Baginda berlepas ke England untuk mengikuti kursus di University Of london, dalam bidang Local Government Social Welfare dan Agrarian Economic.

Sekembalinya dari England pada tahun 1951, Baginda telah menceburkan diri dalam Pasukan Federated Malay States Volunteer Force dan telah ditauliahkan sebagai Leftenan. Minat Baginda dalam ketenteraan begitu membara dan dengan semangat serta keazaman yng tinggi Baginda telah mengikuti latihan lasak ketenteraan di Port Dickson bersama-sama anggota Pasukan Askar Melayu. Kecemerlangan Baginda dalam perkhidmatan tentera ini begitu ketara dan dalam waktu yang singkat Baginda telah dinaikkan ke pangkat Mejar. Mengikut rekod tentera, Baginda merupakan Raja Muda yang pertama mengikut secara langsung latihan ketenteraan dalam Regular Unit.

Makam Almarhum Sultan Idris Iskandar Shah II

34.Sultan Azlan Muhibbuddin Shah

 


DYMM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH 
IBNI ALMARHUM
SULTAN YUSSUF IZZUDDIN SHAH GHAFARULLAHU-LAH
SULTAN PERAK KE TIGA PULUH EMPAT
(1984-2014)

Baginda dilahirkan pada tahun 1928 di Batu Gajah, Perak. Baginda adalah anakanda kepada Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah.

Baginda mendapat pendidikan di Government English School, Batu Gajah, kini dinamai SMK Sultan Yussuf, Batu Gajah, Perak. Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Belajar bidang undang-undang di University of Nottingham, United Kingdom dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-undang pada tahun 1953. 23 November 1954 sah menjadi ahli di dalam The English Bar oleh The Honorable Society of Lincoln’s lnn.

Memulakan perkhidmatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Menyertai Perkhidmatan Undang-undang dan Kehakiman Persekutuan Tanah Melayu sebagai Majistret Kelas Pertama dan Presiden Mahkamah Sesyen. Menyandang Peguam Persekutuan dan Timbalan Pendakwa. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang. Penasihat Undang-Undang Negeri Johor. Pendaftar Mahkamah Tinggi Persekutuan Tanah Melayu. Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia. 1965 (umur 37 tahun ) baginda dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Malaya yang merupakan hakim termuda dalam sejarah kehakiman Komanwel.1973 Hakim Mahkamah Persekutuan. 1979 Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya. 12 November 1982 menjadi Ketua Hakim Negara menggantikan Tun Mohamad Suffian Hashim yang bersara. Jawatan ini merupakan puncak karier kehakiman.

Sultan Azlan juga sangat aktif dalam bidang sukan .Baginda aktif dalam sukan hoki sejak zaman persekolahan di Batu Gajah dan Kuala Kangsar. Presiden Persekutuan Hoki Malaysia. Presiden Hoki Asia. Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa. Amat berminat dalam sukan golf. Mengusahakan pembinaan Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh pada 1983. Baginda hadir setiap kejohanan Piala Sultan Azlan Shah iaitu kejohanan tahunan lima penjuru peringkat antarabangsa. Penaung Diraja bagi Persatuan Undang-undang Malaysia di Great Britain dan Eire, The British Graduates Association of Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, The Rotary Clubs, The Lions Clubs, Kelab Golf Diraja Perak, Kelab Polo lskandar, Kelab Golf Kuala Kangsar, Persatuan Alam Sekitar Malaysia serta Persatuan Hoki Veteran Perak. Bersempena Ekspo Pelancongan Domestik Perak 1992 spesis bunga orkid terbaik dinamakan ‘Doritinopsis Sultan Azlan Shah’ .Selaku penaung Persatuan Alam Sekitar Malaysia , spesis serangga baru yang ditemui ketika Ekspedisi Saintifik Belum (1993-1994) dinamakan ‘Azlania Costatipennis (Jacoby), Azlania apicalis n.sp dan Azlania borneensis n.sp.

Pada 12 November 1982 , Raja Tun Azlan Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah telah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-5 selepas Tun Mohamad Suffian Hashim bersara pada 12 November 1982. Baginda menerima watikah perlantikan daripada Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tunku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman di Istana Tetamu, Kuala Lumpur. Turut hadir ialah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Dari 1979-1982, baginda menjadi Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya.

Raja Azlan Shah telah ditabalkan sebagai Raja Muda Perak oleh ayahanda saudara baginda, Sultan Idris Almutawakkil Alallahi Shah II pada 1 Julai 1983 berikutan kemangkatan Raja Muda Musa II ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz.Ketika itu baginda masih lagi memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara Malaysia.

Enam bulan kemudian,iaitu tanggal 3 Februari 1984 Raja Azlan melepaskan jawatan Ketua Hakim Negara setelah dilantik menjadi Sultan Perak berikutan kemangkatan Sultan ldris Shah. Raja Azlan Shah dimasyhurkan sebagai Sultan Perak yang ke-34 pada 3 Februari 1984. Pada 9 Disember 1985, Sultan Azlan Muhibuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Ghafarullahu-lah Shah ditabal sebagai Sultan Perak ke-34 di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak, Malaysia. Tuanku Bainun binti Mohamad Ali turut ditabalkan sebagai Raja Permaisuri Perak. Baginda menetap di Istana Kinta, Ipoh dan hanya pulang ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar apabila majlis rasmi.

Sumbangan dan jasa Baginda antaranya Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang (4 Oktober 1971 hingga Februari 1984). Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi (1 November 1974 hingga 31 Oktober 1976). Canselor Universiti Malaya sejak 8 Februari 1986. Dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Kesusasteraan oleh Universiti Malaya pada 30 Jun 1979. Dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universiti Sains Malaysia , Pulau Pinang pada 28 Jun 1980. Dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang oleh University of Nottingham pada 11 Julai1986. Dianugerah ‘Kerusi Kehormat’ oleh Lincoln’s lnn, London pada 1988. Dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universiti Gadjah Mada, Jogjakarta, Indonesia pada 28 September 1990. Dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universiti Brunei Darussalam pada 30 Oktober 1990. Dianugerahkan Ijazah Kehormat oleh Universiti Chulalongkon, Bangkok, Thailand pada 19 Disember 1990. Anugerah sebagai Ahli Kehormat The Royal College of Physician of lreland pada 2 Oktober 1991. Anugerah sebagai Ahli Kehormat The Royal College of Surgeons of Edinburgh dan The Royal College of Surgeons of England pada 1999.

Pada 26 April 1989 , Sultan Azlan Shah telah melafaz sumpah jawatan dan dan menandatangani surat pengisytiharan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-9 di Balai Rong Seri, Istana Negara, Jalan Istana, Kuala Lumpur, Malaysia. Turut hadir ialah Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Encik Ghafar Baba, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sallehuddin Mohamad dan Ketua Hakim Negara Tan Sri Haji Abdul Hamid Omar. Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja ke-146 pada 2 Mac 1989 dipengerusikan oleh Sultan Selangor memutuskan Sultan Azlan dari Perak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-9.

Sultan Azlan Shah mangkat pada 28 Mei 2014 jam 1:38 pm di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada usia 86 tahun. Jenazahnya telah dimakamkan di Pemakaman Diraja Bukit Chandan berhampiran Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar selepas Solat Asar keesokan harinya.

35. Sultan Perak Ke-35 Di Masyhurkan 

DYMM SULTAN DR. NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH IBN AL MARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH 
SULTAN PERAK KE TIGA PULUH LIMA
(2014 - )

 



Berikutan kemangkatan Paduka Sultan Azlan Shah pada 28 Mei akibat sakit jantung,29 Mei 2014 bersamaan hari Khamis, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah di masyhurkan sebagai Paduka Seri Sultan Perak ke-35.  Pengisytiharan dilakukan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin di Balairong Seri Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak sebelum jenazah Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah dimakamkan. Istiadat Perlantikan dan Pengisytiharan Sultan Perak yang baru serta Istiadat Permakaman ini disiarkan secara langsung bagi tatapan seluruh rakyat Malaysia.Berkelulusan B.A. (Hons) in Philosophy, Politics and Economics, Oxford University; Master in Public Administration dari the Kennedy School of Government, Harvard University;  Ph.D. in Political Economy and Government dari  Harvard University. Baginda mendirikan rumahtangga dengan Tuanku Zara Salim pada 18 Mei 2007 dan dikurniakan dengan sepasang cahayamata. Ketika ini usia Baginda 58 tahun.

Disunting daripada pelbagai sumber oleh : Tokanpuakajoran untuk TBS

No comments:

Post a Comment

Paparan Popular

Sahabat Blogger

Pautan Santai Berkaitan TBS

Perkhidmatan Dan Kemudahan Sekitar TBS