Tazkirah 20 Ramadhan 1436H.
Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Salawat dan salam juga untuk Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Mulianya Ramadhan ini kerana diturunkan di dalamnya Al-Quran mulianya umat ini apabila mereka memuliakan Al-Quran.
عَنْ عُمَرَ الْخَطَّاب رَضِيَ اللهُ عَنهُ قَالَ : قَالَ رَسُول اللهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْكِتَابِ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ
Daripada Umar bin Al-Khattab bahawasanya Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah mengangkat dengan kitab ini beberapa kaum dan merendahkan dengan kitab ini kaum yang lain. (Hadis Riwayat Muslim)
Memuliakan Al-Quran ialah dengan menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkan oleh Al-Quran serta terus-terusan berjuang menegakkan kehidupan ini dengan panduan Al-Quran sepenuhnya samada bernegara, berekonomi dan sebagainya.
Pemuja hawa nafsu ini berusaha sedaya upaya menjarakkan umat Islam dari mendekati Al-Quran. Digambarkan payahnya hendak membaca Al-Quran, kalau dibaca pun memadai hanya dengan bacaan yang merdu, kalau dihafaz pun, cukup sekadar hafazan. Projek menjarakkan umat Islam dari memahami Al-Quran adalah projek mega kerana hasilnya sangat berbaloi. Ini adalah formula jaminan kemenangan kem jahiliyyah ke atas kem syariat Allah. Allah berfirman dalam Surah Fushshilat Ayat 26:
وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَـٰذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ - ٢٦
Bermaksud: Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah ia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacaannya)!"
Kita masih melayari bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini dengan penuh keinsafan dan kesabaran betapa pentingnya kita sentiasa mematuhi setiap anjuran Islam dalam kehidupan harian. Bersempena bulan yang mulia ini marilah kita memelihara batas-batas agama termasuklah memilih makanan yang menjadi juadah berbuka puasa mahupun bersahur dengan makanan halalan toiyiba sejajar dengan apa yang disyariatkan. Marilah kita memastikan bahawa setiap makanan atau minuman yang melintasi tekak lalu memasuki perut kita dan seluruh ahli keluarga kita adalah halal. Firman Allah dalam Surah An-Nahl Ayat 114:
فَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا وَاشْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ - ١١٤
Maksudnya: Maka makanlah daripada apa yang Allah kurniakan kepada kamu dalam keadaan halal dan baik serta bersyukurlah akan nikmat Allah jika kamu benar-benar menyembah Allah. Pilihlah makanan dan minuman yang halal dan tinggalkanlah yang haram mahupun yang syubhah.
Begitu juga halnya dengan pembelian barang kegunaan harian termasuk persiapan menyambut 'Eidul Fitri, maka pilihlah barangan yang diyakini berstatus halalan toiyiba sahaja khasnya memiliki sijil pengesahan halal Malaysia. Semoga Allah akan sentiasa memelihara kita dari sumber makanan dan minuman yang haram.
Moga-moga kita terus beristiqamah, bercita-cita dan terus berusaha melaksanakan segala urusan kita sejajar ajaran Islam dan sentiasa meletakkan al Quran sebagai sumber tertinggi dalam menjalani dan menguruskan kehidupan sejagat.
Wallahuaqlam.
Tokanpuakajoran.
No comments:
Post a Comment